UDA Holdings Berhad.
UDA Holdings Berhad.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: UDA Holdings Berhad (UDA) menegaskan mereka tiada perancangan bagi merobohkan penempatan rumah pangsa yang sudah dibina di Tanjong Tokong di sini.

Penempatan rumah pangsa itu menjadi hak milik penduduk sekali gus memastikan kepentingan penduduk di Tanjong Tokong terjaga.

Jurucakapnya berkata, hampir keseluruhan unit kediaman penempatan semula di Tanjung Tokong diberi secara percuma di peringkat penduduk asal (BPTOL), anak BPTOL serta penyewa unit rumah yang layak.

"Pembabitan UDA Holdings Berhad bagi penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong bermula pada 1972 membabitkan kawasan seluas 17 hektar (43 ekar) yang mana 10 hektar (25 ekar) sudah dibangunkan dan baki tujuh hektar (18 ekar) akan dibangunkan sebagai penempatan semula (rumah ganti), rumah mampu milik dan rumah kos sederhana.

"Manakala pemberian tanah reklamasi seluas 21 hektar (54 ekar) pada 1998 pula bagi menampung sebahagian kos pembangunan penempatan semula penduduk Tanjong Tokong," katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga tahun lalu, pihaknya sudah menyelesaikan masalah penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong membabitkan 1,486 unit rumah.

Kini, UDA Holdings Berhad sedang melaksanakan baki pembangunan bagi 650 keluarga yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi.

"UDA Holdings Berhad tiada perancangan bagi merobohkan penempatan rumah pangsa yang sudah dibina kerana ia sudah menjadi hak milik penduduk itu bagi memastikan kepentingan penduduk di Tanjong Tokong terjaga.

"Sehubungan itu, pembangunan secara usaha sama antara UDA Holdings Berhad dan syarikat lain adalah satu inisiatif bertujuan membantu syarikat ini dalam kelangsungan operasi perniagaan," katanya.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan, UDA Holdings Berhad komited memikul amanah bagi membantu Bumiputera khususnya dalam pemilikan dan pembabitan mereka di kawasan bandar dan dalam masa sama, pihaknya juga perlu mengimbangkan antara keuntungan dan tanggungjawab bagi membantu memperkasakan golongan Bumiputera.

UDA Holdings Berhad juga adalah perintis kepada pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang yang menjadi model pusat komersial dan kediaman pertama seumpamanya di negara ini.

"Antara pembangunan tanah wakaf dengan usaha sama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) yang sudah dibina di sekitar Pulau Pinang adalah Wakaf Seetee Aisah (Taman Warisan Impian), Legasi Casarina dan Wakaf Mohammad Hashim.

"Pembangunan tanah wakaf memberi peluang kepada umat Islam bagi memiliki hartanah malah, usaha sama UDA Holdings Berhad dengan MAIPP juga membantu meningkatkan nilai hartanah wakaf sekali gus memperkukuh fungsi MAIPP dalam membangunkan umat Islam di Pulau Pinang," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan gesaan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) supaya kerajaan mewakafkan tanah yang diberi kepada UDA Holdings Berhad bagi memastikan projek yang dilaksanakan dimanfaatkan kepada umat Islam dan Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:46 PM