(DARI kanan) Jalaluddin, Dr Wan Junaidi dan Mohd Saleem Kailany komited membantu rakyat mendapatkan kediaman.
(DARI kanan) Jalaluddin, Dr Wan Junaidi dan Mohd Saleem Kailany komited membantu rakyat mendapatkan kediaman.
Hafiz Ithnin

SERAMAI lebih 300 penduduk penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A akan berpindah ke rumah baharu mereka yang diberikan percuma oleh UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac).

Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang mula dibangunkan pada 27 Oktober 2014 adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA dalam membangunkan bandar dan menyediakan penempatan semula bagi masyarakat Bumiputera di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Sejak 1972, UDA menggalas tanggungjawab melaksanakan pembangunan semula dengan membina sebanyak 8,023 unit secara berfasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,455 sudah siap dibina manakala bakinya akan dibina dalam masa terdekat.

Menteri di Medac Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses pemindahan ini harus dilakukan dengan segera supaya penduduk dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan selamat khususnya ketika pandemik ini.

"Keadaan rumah yang didiami sekarang oleh penduduk yang terlibat pun sudah usang, maka sepatutnya mereka pindah ke rumah baharu dengan kadar segera.

"Di dalam mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini, perdana menteri juga meminta untuk dipercepatkan pemindahan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Junaidi berkata, projek penempatan semula masyarakat sekitar Tanjung Tokong yang diterajui UDA sejak 1972 ini dilihat sebagai satu usaha yang membanggakan dalam membantu masyarakat khususnya golongan Bumiputera di kawasan berkenaan untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa terutama sekali di tengah bandar Pulau Pinang di mana nilai hartanahnya sangat tinggi.

PENDUDUK asal Tanjung Tokong Fasa 4A gembira dapat berpindah ke kediaman baharu.
PENDUDUK asal Tanjung Tokong Fasa 4A gembira dapat berpindah ke kediaman baharu.

"Harga hartanah di Pulau Pinang memang di luar kemampuan masyarakat Bumiputera. Syabas kepada UDA kerana usaha ini membolehkan mereka memperoleh hartanah di kawasan strategik.

"Secara kasar, harga pasaran seunit Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A ini bernilai sekitar RM400,000.

Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan oleh UDA Land (North) Sdn Bhd, anak syarikat UDA, menampilkan pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi," katanya.

Terdapat lima blok pangsapuri enam tingkat itu dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit (800 kaki persegi).

Terletak di lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan di sekitarnya seperti pasar raya TESCO, pusat beli-belah, masjid dan sekolah. Pembangunan yang terletak di daerah timur laut, Pulau Pinang itu dibina atas tanah berkeluasan 8.0 ekar menelan belanja RM84 juta.

Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UDA dalam proses penyerahan kunci rumah baharu kepada penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A yang terbabit. Inisiatif ini dilihat bertepatan ketika pandemik Covid-19 dalam membantu penduduk berkenaan mendiami rumah yang lebih kondusif dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:31 AM