PESAWAT AirAsia.
PESAWAT AirAsia.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap keputusan Sabah Development Bank (SDB) memberikan pinjaman RM300 juta kepada Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia).

Pada kenyataan media hari ini, beliau berkata, pinjaman terbabit dibuat berdasarkan undang-undang dan siasatan menyeluruh terhadap permohonan pinjaman itu sudah dilakukan oleh SDB.

"Sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, saya sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman tersebut kerana permohonan itu bukan dibuat dalam tempoh semalaman sebaliknya SDB sudah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum kelulusan diberikan.

"AirAsia adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia, justeru sebarang urusan transaksi berjumlah RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon," katanya.

Menurut Shafie, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat terbabit menyasarkan mencipta 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

"Syarikat penerbangan itu merancang untuk terbabit dalam beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu, antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai 'OurFarm' selaras dengan sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui e-dagang," katanya.

Menurut Shafie, segala perancangan kerajaan negeri sebelum ini bersama AirAsia banyak memberi manfaat kepada Sabah.

Katanya, AirAsia juga merancang membelanjakan RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka.

"Segala perancangan AirAsia itu sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.

"Semasa saya menjadi Ketua Menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dilancarkan untuk menjadikan Sabah sebagai negeri pengeluar produk pertanian selain memastikan jaminan makanan bagi negara," katanya.

Menurut beliau, dengan adanya bekalan produk pertanian, petani Sabah sudah tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.

"Untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting. Justeru, AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak," katanya.

Shafie turut menjelaskan perancangan bersama AirAsia juga tidak hanya memberi manfaat kepada sektor pertanian malah sektor pelancongan.

"Dalam sektor pelancongan pula, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.

"Kita sedar sebelum Covid-19 melanda, ekonomi Sabah meningkat dengan pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi yang tidak terbatas di semua peringkat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi melimpah sehingga ke Pantai Timur Sabah.

"Sebagai pentadbir negeri ketika itu, kita tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB) semata-mata sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecilkan," katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan itu berjaya, rakyat Sabah akan menerima manfaat.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, AirAsia mengesahkan ia memperoleh pinjaman RM300 juta daripada SDB dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:29 PM