ANGGOTA APM memasang khemah di PPS yang dibuka malam tadi. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM memasang khemah di PPS yang dibuka malam tadi. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Mangsa banjir di daerah ini masih kekal seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir itu tidak berubah sejak malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini tiada lagi mangsa baru dilaporkan pada hari ini dan keadaan cuaca bertambah baik.

Bagaimanapun, katanya, APM dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir.

Media sebelum ini melaporkan, hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3.30 petang Khamis lalu menyebabkan paras air sungai berhampiran kawasan kampung berkenaan meningkat.

Antara lokasi yang dinaiki air adalah di Jalan Changlun-Jitra (hadapan Taman Jelutong, Changlun), Taman Sri Menanti, Taman Pertama, Taman Resak dan Jalan Sintok di Mukim Temin.

Selain itu, paras air turut meningkat di Kampung Padang Pasir di Mukim Sungai Laka, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal dan Kampung Tengah di Mukim Hosba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:19 PM