Anggota APM Kubang Pasu menyukat paras air yang meningkat berikutan berlakunya banjir di daerah itu sejak semalam. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Kubang Pasu menyukat paras air yang meningkat berikutan berlakunya banjir di daerah itu sejak semalam. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini yang menempatkan 49 mangsa daripada 11 keluarga dari tiga kampung berikutan banjir yang melanda semalam.

Tiga PPS berkenaan adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai yang menempatkan seramai 10 mangsa daripada dua keluarga, PPS Dewan Kampung Nongka seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga dan Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang seramai 28 mangsa daripada enam keluarga setakat jam 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, dua PPS iaitu Dewan Kampung Nongka dan SK Binjai dibuka jam 11.30 malam tadi manakala Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dibuka jam 3 pagi tadi.

Katanya, ini berikutan hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 3.30 petang semalam menyebabkan paras air sungai berhampiran kawasan kampung berkenaan meningkat.

"Antara lokasi yang dinaiki air adalah di Jalan Changlun-Jitra (hadapan Taman Jelutong, Changlun), Taman Sri Menanti, Taman Pertama, Taman Resak dan Jalan Sintok di Mukim Temin.

"Selain itu, paras air turut meningkat di Kampung Padang Pasir di Mukim Sungai Laka, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal dan Kampung Tengah di Mukim Hosba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:18 AM