Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menerima apa saja pilihan pengundi dalam menentukan parti mana yang akan dipilih bagi menerajui Melaka.

Ditemui media di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar, di sini, beliau berkata seluruh jenteranya sudah melakukan yang terbaik untuk meyakinkan pengundi supaya menyokong calon PN.

"Yang penting hari ini adalah hari penting untuk Melaka. Saya dan jentera sudah berusaha dan cuba untuk (memenangkan) PN.

"Hari ini kita pulangkan semula kepada rakyat untuk buat pilihan. Apa juga pilihan mereka (diharap) akan beri yang terbaik kepada Melaka.

"Saya sempat ziarah kubur arwah bapa. Dia pernah menceburkan diri dalam bidang politik dan banyak mencorakkan kehidupan serta mempengaruhi saya. Sebelum pergi undi tadi, saya lawat kubur dia dulu," katanya.

DATUK Mas Ermieyati Samsudin membuang undi beliau pada jam 8.08 pagi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar China pada PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Mas Ermieyati Samsudin membuang undi beliau pada jam 8.08 pagi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar China pada PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah

Mas Ermieyati juga mengakui agak keletihan selepas bekerja keras merayu undi sepanjang tempoh berkempen bermula pada 8 November lalu.

"Kita adakan perjumpaan dengan calon dan jentera. I want to say thank you to everyone and machinery, from local and elsewhere.

"Terhutang budi kepada mereka (jentera) walaupun datang dari jauh. Mereka beri kekuatan bukan saja kepada saya, tetapi semua (pengundi) dalam Masjid Tanah," katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri jika PN menang pada PRN Melaka.

Beliau dicabar calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 10:45 AM