Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka yang mengesahkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Syukur Alhamdulillah atas kemenangan ini, terus terang saya cakap bahawa ia sebenarnya satu kemenangan yang saya rasa mengharukan betul.

"Terima kasih Yang Berhormat (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), keluarga, sahabat, pada pimpinan dan pasukan peguam yang sangat komited dan membantu. Ini adalah kemenangan untuk Masjid Tanah.

"Perkara ini tidak menjejaskan sebenarnya fokus saya melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen, sebagai Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), dan dengan kenangan ni Insya-Allah kita akan lebih bersemangat," katanya ditemui di luar kamar mahkamah.

Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu berkata, kemenangan itu juga memberi semangat untuk Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihanraya Kecil Parlimen Kemaman.

MAS Ermieyati bersama barisan peguam diketuai Takiyuddin serta penyokongnya bersorak selepas keputusan mahkamah pilihan raya memihak kepadanya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MAS Ermieyati bersama barisan peguam diketuai Takiyuddin serta penyokongnya bersorak selepas keputusan mahkamah pilihan raya memihak kepadanya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Sementara itu, Takiyuddin turut bersyukur kerusi Parlimen Masjid Tanah kekal milik PN.

"...keputusan Alhamdulillah nampaknya memihak kepada kita dan mahkamah pilihan raya memutuskan Yang Berhormat (Mas Ermieyati) dilapor pilih secara sah dalam PRU-15 walaupun dimasukkan petisyen oleh pihak yang berlawan dengan kita.

"Sebenarnya petisyen ini menjalani perbicaraan yang agak panjang yang mana peringkat awalnya hakim mahkamah pilihan raya yang terdahulu memutuskan petisyen itu tidak berasas serta membenarkan bantahan awal kita.

"Tetapi mereka (pempetisyen) merayu ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan menghantar balik kes ini ke mahkamah pilihan raya di Melaka ini," katanya.

Takiyuddin berkata, beliau berharap keputusan kemenangan itu kekal.

"... Inilah hasrat rakyat Masjid Tanah yang mahukan bukan seratus, bukan dua ratus tapi 4,411 undi... nombor kapit. Nombornya elok ya.

"Jadi jelaslah rakyat Masjid Tanah mahukan pemimpin daripada PN mewakili mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:36 PM