DR Hafidzah Mustakim (tengah) bersama dengan Che Russ Mamat (dua kanan) serta Abdul Rani Aziz (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian bekas tentera. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Hafidzah Mustakim (tengah) bersama dengan Che Russ Mamat (dua kanan) serta Abdul Rani Aziz (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian bekas tentera. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menggesa bekas tentera yang belum menyertai mana-mana persatuan untuk mendaftar demi kebajikan mereka.

Bendahari Pusatnya Abdul Rani Aziz berkata, pihaknya percaya terdapat kira-kira 100,000 bekas tentera tidak berpencen gagal mendaftar termasuk dikesan hidup melarat.

Menurutnya, tindakan tidak menyertai sebarang persatuan hanya merugikan mereka kerana akan tercicir daripada menerima bantuan yang disalurkan sama ada secara berterusan atau berkala.

"Kita kesan ramai dalam kalangan bekas tentera dikategorikan sebagai asnaf dan keadaan mereka semakin terhimpit apabila tidak mendaftar dengan mana-mana persatuan.

"Sepanjang berkhidmat nyawa mereka diibaratkan sebutir peluru dan menjadi kerugian (tidak menyertai persatuan selepas menamatkan khidmat kerana) tidak semua yang ada kewangan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis perasmian persidangan perwakilan tahunan PVATTBM Kelantan kali ketiga 2021.

Perasmian dilakukan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) kelantan, Dr Hafidzah Mustakim.

Abdul Rani berkata, PVATTBM tidak akan mendiskriminasi dalam urusan bantuan yang disalurkan sama ada kepada veteran atau bekas tentera tidak berpencen.

Katanya, walaupun bekas tentera itu berhenti perkhidmatan sama ada secara sukarela atau dikenakan tindakan tatatertib, pihaknya tidak mengabaikan kebajikan selagi mereka bergelar ahli PVATTBM.

"Setakat ini kami membantu dari segi sumbangan kewangan dan makanan asas secara berkala bergantung kepada dana dan tabung yang ada.

"Sebenarnya kami mempunyai banyak perancangan untuk masa depan ahli termasuk akan memfokuskan kepada pelbagai aktiviti termasuk perniagaan dan perternakan bagi menambah dana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 1:44 PM