Sazali  (tiga dari kanan) bersama ahli PVATM dan  media di Hi-Tea Palm Mall Hotel, Seremban.
Sazali (tiga dari kanan) bersama ahli PVATM dan media di Hi-Tea Palm Mall Hotel, Seremban.
HM Digital

Seremban: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keutamaan terhadap kebajikan ahlinya pada pembentangan Bajet 2018, Jumaat ini.

Naib Presiden 1 PVATM, Datuk Sazali Ismail berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan tiga perkara berkaitan iaitu merapatkan jurang perbezaan pencen, menambah bantuan tetap kepada veteran tidak berpencen dan memanjangkan tempoh pemberian pencen terbitan.

Katanya, pemberian pencen terhadap veteran menampakkan jurang ketara iaitu sebelum dan selepas 2004 biarpun sebahagian besar mereka terkorban ketika era darurat.

“Kami berharap pemberian pencen terbitan dipanjangkan daripada 20 tahun sehingga 50 tahun. Ia bagi meringankan beban isteri atau balu tambahan pula jumlah pencen diterima tidak mencukupi,” katanya yang juga Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan diharap mempertimbangkan pemberian bonus tahunan mengikut jumlah pencen berbanding hanya RM250 sebelum ini.

Dalam perkembangan berasingan katanya, pihaknya menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan PVATM mengabaikan kebajikan ahli.

“Pihak kami sentiasa turun padang membantu veteran yang terlantar sakit dan menyampaikan sumbangan. Namun begitu, tidak dinafikan ada segelintir terlepas pandang disebabkan kami tidak menerima maklumat ahli keluarga,” katanya pada Majlis Bersama Media di Kemayan Square, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:41 AM