ARTIS tempatan turut bekerjasama bagi mengumpul dana bantuan untuk rakyat Afghanistan.
ARTIS tempatan turut bekerjasama bagi mengumpul dana bantuan untuk rakyat Afghanistan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Penderitaan dan kesengsaraan lebih 22 juta rakyat Afghanistan yang berdepan krisis kemarau dan kebuluran meraih simpati ramai artis serta selebriti tempatan untuk turut sama membantu.

Ini dibuktikan apabila artis antaranya Lisa Surihani, Hafiz Hamidun, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Diana Amir, Fakhrul UNIC dan Salima Habibi turut serta dalam kempen kutipan amal Care4Afghan anjuran pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM).

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, usaha digembleng itu turut mendapat sokongan pendakwah terkenal antaranya Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre selain influencer media sosial, Marc Sadique.

Beliau berkata, melalui kempen Care4Afghan diadakan itu, pihaknya berusaha mengatur misi kemanusiaan bertujuan membantu rakyat Afghanistan yang baru merdeka dari 'penjajahan' tentera Amerika Syarikat.

"Hasil kutipan yang diperolehi kelak akan digunakan untuk membina masjid, membekalkan air bersih melalui pembinaan 20 telaga, pembinaan kilang roti dan sumbangan bekalan makanan berzat.

"Malah misi penting ini juga bertujuan mencipta peluang pekerjaan untuk kelangsungan hidup rakyat Afghanistan yang turut berdepan isu pengangguran serius," katanya.

Zulkifli meluahkan rasa syukur apabila usahanya itu turut mendapat sokongan ramai artis, selebriti dan pendakwah bagi memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan ke negara bergolak itu.

"Golongan yang mempunyai ramai peminat dan pengikut di media sosial ini membantu kami dari aspek kempen kesedaran di kalangan rakyat Malaysia berhubung krisis kemanusiaan meruncing di Afghanistan.

"Penyertaan mereka diharap menarik minat masyarakat untuk menyalurkan dana kepada tabung misi Care4Afghan," katanya.

Beliau berkata, lebih 22 juta rakyat Afghanistan bakal menghadapi krisis makanan serius pada musim sejuk yang akan bermula tidak lama lagi berdasarkan angka dikeluarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Paling dibimbangi apabila saudara kita di sana bakal mengalami krisis kemanusiaan terburuk dunia berskala lebih besar daripada dihadapi Yaman atau Syria," katanya.

Sumbangan untuk rakyat Afghanistan boleh disalurkan secara atas talian melalui pautan https://toyyibpay.com/TABUNG-KEMANUSIAAN-AFGHANISTAN atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 0169978323, Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar di talian 0134886447 atau Zuriati Ya'akob di talian 0192049434.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 8:43 PM