BANJIR kilat melanda Kampung Sungai Durian, Pokok Sena malam tadi. FOTO Ihsan JBPM Kedah.
BANJIR kilat melanda Kampung Sungai Durian, Pokok Sena malam tadi. FOTO Ihsan JBPM Kedah.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Hujan lebat berterusan menyebabkan 10 rumah di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena dinaiki air dan empat mangsa terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa daripada sebuah keluarga dipindahkan ke Masjid Sungai Durian pada 11.38 malam.

Katanya, dua mangsa berusia 37 dan 38 tahun, seorang warga emas 70 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun.

"Bomba menerima panggilan berhubung banjir pada 9.46 malam dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena digerakkan untuk meninjau keadaan.

"Komander operasi melaporkan kedalaman air dianggarkan satu meter namun, hanya banjir kilat berikutan kedudukan rumah yang berhampiran sungai.

"Sebanyak 10 rumah terjejas dan tiada mangsa berpindah ketika itu sehinggalah pada 11.38 malam yang membabitkan sekeluarga empat orang," katanya.

Menurutnya, pada 11.51 malam paras air dilapor semakin surut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:29 AM