Kakitangan hospital di Klang dan anggota bomba membantu memindahkan pesakit berikutan dua wad terbakar pada malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Kakitangan hospital di Klang dan anggota bomba membantu memindahkan pesakit berikutan dua wad terbakar pada malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Norzamira Che Noh

Klang: Seramai 30 orang pesakit termasuk dua penjaga di sebuah hospital swasta di sini, dipindahkan selepas wad terbakar pada malam tadi.

Turut dipindahkan adalah 20 kakitangan hospital berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 11.38 malam.

Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada 11.42 malam.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah bilik wad di hospital dan ia tidak membabitkan mangsa berikutan wad berkenaan kosong.

"Anggota bomba kemudiannya menggunakan konsep 'receo' iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan pada 12.57 tengah malam.

Katanya, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 9:21 AM