ANGGOTA APM Kota Setar menyukat paras air yang meningkat berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kota Setar menyukat paras air yang meningkat berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 546 orang membabitkan 160 keluarga yang dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di empat daerah iaitu Pendang, Kota Setar, Baling dan Pokok Sena setakat jam 8 pagi ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Setar menunjukkan pertambahan 46 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan berbanding 20 mangsa daripada enam keluarga yang dilaporkan jam 8 malam tadi.

Beliau berkata, selain itu, mangsa banjir di Pendang yang dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah turut meningkat kepada 199 mangsa dari 51 keluarga berbanding 188 mangsa dari 49 keluarga yang dilaporkan malam tadi.

"PPS Surau Permatang, Pokok Sena kekal 22 mangsa daripada lapan keluarga manakala PPS Masjid Sungai Durian di daerah sama ditutup sepenuhnya semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

"Di Baling, tujuh PPS masih aktif iaitu SK Tanjung Pari menempatkan seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga, PPS SK Siong (21 mangsa dari lapan keluarga), PPS Banggol Deram (46 mangsa dari 10 keluarga) dan SK Titi Gantung (14 mangsa dari 4 mangsa)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, PPS Tengku Putera di Baling pula mencatatkan mangsa seramai 26 orang daripada lapan keluarga, SK Pulai seramai 124 dari 42 keluarga dan PPS Keda seramai 24 mangsa dari 10 keluarga.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Baling masih kekal seramai 279 orang dari 90 keluarga.

"Anggota APM di seluruh kawasan yang terjejas banjir di negeri ini sedang melakukan pemantauan paras air bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan memindahkan mereka jika perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 9:35 AM