Zuliaty Zulkiffli

TIGA keluarga di Kampung Macang Kudung, Pokok Sena terpaksa dipindahkan sementara ke rumah jiran berhampiran selepas rumah mereka dinaiki air, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, kesemua mangsa berusia 12 hingga 93 tahun itu berada di rumah masing-masing sebelum menyedari air naik pada kedalaman 0.91 meter di rumah mereka.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.46 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.

Beliau berkata, anggota BBP Pokok Sena yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zukri Jusoh tiba pada 3.50 pagi untuk membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke rumah jiran berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, ketua operasi kemudian melaporkan keadaan air semakin surut selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 10:38 AM
ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat. FOTO ihsan Bomba