Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri
Siti Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, yang juga anak angkat pemilik Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Norfarahain Roslan menolak permohonan Siti Bainun, 29, selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak warga Indonesia berkenaan.

Peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun ketika ditemui berkata, mahkamah membuat keputusan itu berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, bahawa mana-mana ibu angkat yang ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga negara republik itu perlu berusia 30 tahun ke atas dan berkahwin selama lima tahun.

Sehubungan itu, kanak-kanak perempuan berkenaan akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras (RKKTBC) selama tiga tahun.

Bagaimanapun Nur A'minahtul, pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung keputusan hari ini.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 2 dan 16 November ini untuk keputusan hak penjagaan seterusnya, membabitkan empat lagi kanak-kanak yang dalam permohonan sama.

Siti Bainun dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan berkenaan melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan itu juga bagi pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan mengikut Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001, di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah ketika perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 8:59 PM