SITI Bainun menghadapi tuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan. FOTO Saifullizan Tamadi.
SITI Bainun menghadapi tuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan. FOTO Saifullizan Tamadi.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini ditayangkan video tular remaja kanak-kanak Sindrom Down dikenali Bella ketika ditemui di sebuah kondominium di sini, pada 24 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memohon galeri awam dikosongkan dan hanya hakim, pendakwaan dan pembelaan dibenarkan untuk menonton video terbabit memandangkan Bella kanak-kanak bawah umur dan dilindungi.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan permohonan itu.

Prosiding kemudian bermula dengan Nur A'minahtul Mardiah bertanya kepada saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, sama ada di dalam video itu Bella ada menyebut nama Siti Bainun dan saksi itu menjawab, "tidak".

"Dalam video itu, Mommy (saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin) ada bertanya kepada Bella siapa ikat dan Bella mengatakan 'Shomin' (Yasmin). Betul?," tanya peguam itu.

Yasmin menjawab, "betul".

Terdahulu, Yasmin menafikan di mahkamah itu bahawa bahawa segala keterangan yang diberikan adalah untuk 'mengenakan' Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Remaja itu menjawab soalan Nur A'minahtul Mardiah iaitu, "Saya cadangkan Yasmin menipu dari hari pertama, supaya Bainun dimasukkan penjara? Yasmin setuju?"

Pembelaan juga menyanggah keterangan saksi tersebut yang mengatakan lutut Bella dipijak oleh Siti Bainun.

"Dalam laporan perubatan doktor mengesahkan lutut Bella tidak patah, berat Siti Bainun 150 kilogram (kg), saya cadangkan ini penipuan ke-26 Yasmin," kata peguam itu lagi dan saksi menjawab 'tidak'.

Sebelum ini dalam prosiding lalu, Zurianty yang juga rakan baik Siti Bainun menafikan rakaman video yang diambil itu untuk 'leak' (bocor) atau disebarkan dalam media sosial selain untuk mendapatkan perhatian umum.

Zurianty turut mengakui dua laporan polis dibuat masing-masing pada 24 Jun dan 1 Julai 2021 bertujuan supaya Siti Bainun ditangkap, selain bersetuju dengan cadangan peguam, dia menulis 'hari -hari' di laman sosial Facebook (menghitung hari berhubung kes Bella).

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 3:39 PM