SITI Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
SITI Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan ke-12 kes pengabaian dan penderaan Bella, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, dia tidak bersetuju remaja sindrom Down itu pernah menjadi mangsa amang seksual sebelum diletakkan di bawah penjagaan sementara Siti Bainun Ahd Razali.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun.

Berikut adalah sesi pemeriksaan balas antara Nur A'minahtul dan Mohamad Imran:

Nur A'minahtul: Encik Imran patut tahu apa yang berlaku pada Bella sebelum diserahkan kepada Siti Bainun sebelum dan selepas?

Mohamad Imran: Betul.

Nur A'minahtul: Ini cadangan kepada pembelaan ya, Encik Imran telah diceritakan oleh Siti Bainun bagaimana keadaan Bella apabila duduk dengan Siti Bainun sepanjang tempoh tiga bulan perintah sementara.

Mohamad Imran: Setuju.

Nur A'minahtul: Antara lainnya Encik Imran dimaklumkan bahawa Bella menjadi mangsa amang seksual?

Mohamad Imran: Tidak betul.

Nur A'minahtul: Individu yang membuatnya adalah seseorang yang dipanggil ustaz atau pun pakcik di tempat kediaman Bella sebelum (ditempatkan) di rumah Siti Bainun.

Mohamad Imran: Tak setuju.

Nur A'minahtul: Kerana itu Siti Bainun concern (prihatin) dan bertanya kepada Encik Imran kenapa Bella suka bercakap tentang perkahwinan dan sarung cincin?

Mohamad Imran: Tak setuju.

Nur A'minahtul: Bella juga semasa rakaman CIC (Pusat Temuduga Kanak-Kanak) menyebut tentang ustaz ini.

Mohamad Imran: Tak tahu.

Nur A'minahtul: Setiap kali Bella nampak individu seakan pakcik atau ustaz, Bella akan menutup kemaluannya dengan menggunakan kedua-dua tangan, Encik Imran tahu perkara ini?

Mohamad Imran: Tak setuju.

Nur A'minahtul: Kerana itu Encik Imran syor perintah tetap antara lainnya syornya (hal penjagaan) diberikan pada Siti Bainun antara sebabnya tentang isu ini.

Mohamad Imran: Tak setuju.

Pada prosiding terdahulu Mohamad Imran memberitahu, dia tidak pernah bersetuju Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas Rumah Bonda berkenaan.

Bagaimanapun saksi itu berkata, mahkamah membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun.

Katanya, Bella sebelum ini ditempatkan di JKM di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban, Negeri Sembilan sejak 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.

Perintah jagaan sementara itu bermula 14 Julai 2020 sehingga 20 September 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 September 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:12 PM