Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Lumut: Enam lelaki termasuk pelajar berusia 16 tahun dikompaun kerana tidak lengkap tempoh 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua vaksin di Teluk Batik dan Teluk Senangin, di sini, hari ini.

Lima lelaki berusia 19 dan 20 tahun dari Tanjung Karang, Selangor dikompaun kerana merentas negeri tanpa lengkap dua dos vaksin 14 hari.

Sementara, di Teluk Senangin pula remaja berusia 16 dari Gerik dikompaun atas kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mereka dikompaun RM2,000 setiap seorang atas kesalahan itu.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan sama pada seorang individu di Marina Wings pada 18 Oktober lalu.

"Lima lelaki yang dikenakan kompaun di Teluk Batik datang ke sini berkonvoi motosikal dengan kumpulan masing-masing untuk beriadah.

"Mereka sudah menerima dua dos vaksin tetapi ia belum cukup tempoh 14 hari bagi dos kedua," katanya selepas melakukan pemantauan SOP di Teluk Batik, di sini, hari ini.

Operasi di dua lokasi pantai peranginan terkenal berkenaan disertai 46 anggota membabitkan polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menurutnya, kebenaran merentas negeri dan aktiviti riadah di kawasan tumpuan ramai perlu diselaraskan dengan pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan bagi membendung penularan virus Covid-19.

"Semua pihak perlu memainkan peranan supaya mempunyai tanggungjawab terus kekal mematuhi SOP terutama di tempat tumpuan ramai. Ibu bapa juga perlu sentiasa pantau pergerakan anak supaya mereka tidak melanggar SOP.

"Pemerhatian pagi ini mendapati kebanyakan pengunjung terutama dewasa mempunyai dos vaksin yang lengkap dan lebih tempoh matang (14 hari selepas dos kedua)," katanya.

Nor Omar berkata, pihaknya mengeluarkan 3,721 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP sejak Mac tahun lalu hingga kini.

Katanya, Manjung menjadi daerah kedua tertinggi di Perak yang mengeluarkan kompaun dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka adalah tertinggi yang dicatatkan selain tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

"Sebanyak 21 kesalahan tidak memakai pelitup muka dicatatkan dari 28 kompaun dikeluarkan pada 18 Mac lalu hingga hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:53 PM
NOR Omar Sappi (tangan dalam poket) pada pemeriksaan kad vaksinasi sekumpulan lelaki ketika melakukan pemantauan SOP di Teluk Batik, Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOR Omar Sappi (tangan dalam poket) pada pemeriksaan kad vaksinasi sekumpulan lelaki ketika melakukan pemantauan SOP di Teluk Batik, Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi