GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki yang merentas negeri ke daerah ini dikompaun RM5,000 selepas didapati mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP ) merentas negeri tanpa vaksinasi Covid-19 dan kebenaran polis.

Lelaki berusia 39 tahun itu memberi alasan kepada polis pengambilan vaksin Covid-19 tidak wajib, namun tidak dapat menafikan kebenaran rentas negeri hanya diberikan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kompaun dikeluarkan kepada lelaki itu ketika ditahan dalam pemantauan pematuhan SOP di Kilometer 35 Jalan Bahau-Kemayan, di sini, pada 12.40 tengah hari ini.

"Lelaki itu dari Kemayan, Pahang dan mengatakan memasuki daerah ini kerana mahu mengambil isterinya di Sungai Lui.

"Dia dikompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hoo berkata, biarpun pengambilan vaksin Covid-19 tidak diwajibkan, kebenaran merentas negeri hanya diberikan kepada individu lengkap vaksinasi, selain mendapat kebenaran polis.

Katanya, polis daerah ini akan terus mengadakan operasi pemantauan pematuhan SOP bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat lengkap vaksin merentas negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:31 PM