PTPTN. FOTO Arkib NSTP
PTPTN. FOTO Arkib NSTP
Oleh Saiful Haizan Hasam


Kuala Lumpur: Kerajaan disaran membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dalam Belanjawan 2022.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, moratorium bersasar adalah kaedah terbaik sewaktu pemulihan ekonomi baru bermula dan masih ramai peminjam PTPTN yang menghadapi masalah kewangan.

Katanya, jika moratorium tidak dapat dilaksanakan, kerajaan perlu memberi diskaun kepada peminjam yang memenuhi kelayakan tertentu.

"Bagi saya, yang paling baik ialah jika kerajaan benarkan PTPTN teruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat Covid-19.

"Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan bahawa kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh," katanya pada kenyataan hari ini.

Malam tadi, Wan Saiful dan ketua-ketua penerangan daripada parti kerajaan mengadakan dialog Belanjawan 2022 bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selaku Ketua Sekretariat Ketua-Ketua Penerangan, Wan Saiful memberikan tiga cadangan dengan satu daripadanya berkaitan PTPTN.

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata, beliau turut mencadangkan pemberian diskaun kepada peminjam yang membuat bayaran secara arahan debit tetap pada setiap bulan.

Katanya, cadangan diskaun itu adalah kehendak peminjam apabila topik itu sering ditimbulkan dalam sesi libat urus bersama PTPTN.

"Saya juga minta kita beri diskaun kepada mereka yang membayar menggunakan potongan debit terus bulanan sebagai imbuhan kepada mereka yang membayar mengikut jadual.

"Diskaun ini merupakan satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang kami jalankan," katanya.

Kata Wan Saiful, sebagai Pengerusi PTPTN, beliau sudah menyerahkan surat rasmi berkenaan cadangan itu kepada Tengku Zafrul dalam sesi dialog itu.

"Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Belanjawan 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 4:17 PM