ABDUL Ghaffar menyeru orang ramai untuk menabung di SSPN-i Plus demi masa depan anak-anak.
ABDUL Ghaffar menyeru orang ramai untuk menabung di SSPN-i Plus demi masa depan anak-anak.
Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilanjutkan sehingga Disember tahun depan oleh kerajaan perlu direbut golongan peminjam dengan menyegerakan pembayaran tunggakan pinjaman masing-masing.

Pengurus Besar Kanan PTPTN Abdul Ghaffar Yusop berkata, potongan itu adalah seperti 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit secara terus mengikut jadual.

“Pemberian diskaun 20 peratus itu layak diterima peminjam berkuat kuasa 27 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2018 dan peluang itu perlu digunakan sebaiknya bagi mereka yang berhasrat untuk membuat bayaran balik secara penuh.

“Malah, melalui pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bulan lalu, beliau turut mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan kepada PTPTN.

“Pertama, bagi pelajar daripada keluarga kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang mengikuti kursus berkebolehpasaran tinggi, sebanyak RM200 juta ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka.

“Kedua, tempoh ‘grace period’ bayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini,” katanya ketika ditemui di Menara PTPTN.

Abdul Ghaffar berkata, peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda boleh menggabungkan pinjaman sebagai satu pinjaman dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian kelak.

Katanya, selain itu tempoh pelepasan cukai pendapatan individu juga dilanjutkan sehingga 2020, manakala sebanyak RM250 juta disediakan kepada 500,000 pencarum berusia antara tujuh hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) yang hanya boleh dikeluarkan apabila anak mencapai usia 18 tahun.

“Peminjam seharusnya merasa bertuah kerana kerajaan memberi inisiatif terbaik untuk meringankan beban mereka, malah perlu merebut peluang ketika ada diskaun ini,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan orang ramai terutama ibu bapa membudayakan amalan menabung bagi masa depan anak-anak, PTPTN menyediakan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 untuk pendeposit skim simpanan pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus menerusi Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN.

Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN itu merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa sebagai tanda penghargaan, dorongan serta galakan kepada orang ramai yang menyimpan dengan PTPTN.

Produk SSPN-i Plus menawarkan pakej simpanan yang dijamin kerajaan dan mempunyai perlindungan takaful yang komprehensif termasuk kematian, ilat kekal dan 36 penyakit kritikal, selain mendapat pelepasan taksiran cukai dan layak mendapat dividen tahunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:18 AM