GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur

Hanya tinggal sembilan hari saja lagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman seperti yang di umumkan kerajaan, baru-baru ini.

Menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan pada Februari lalu, kerajaan memberikan insentif diskaun sehingga 20 peratus kepada peminjam bagi memastikan kebajikan peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.

Oleh itu, peminjam diseru supaya segera merebut peluang keemasan ini dan menyelesaikan bayaran balik sebelum atau pada 31 Mei ini. Peminjam juga diingatkan supaya tidak membuat bayaran balik di saat-saat akhir.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, melalui Belanjawan 2023 pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam PTPTN.

"Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus itu meliputi empat kategori iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

"Selain itu, peminjam juga akan menerima diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik serta diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

"Bukan itu saja, semua peminjam PTPTN termasuk yang sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak menikmati insentif ini," katanya.

Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN, portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang disediakan.

Bagi peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus, adalah layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.

Manakala, peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau Debit Terus pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau menerusi portal rasmi PTPTN di laman www.ptptn.gov.my.

Sementara itu, bagi peminjam PTPTN, Mohammad Ammad Mohd Jamil, 26, berkata, insentif diskaun pembayaran balik pinjaman itu adalah berita yang sentiasa dinantikan setiap kali belanjawan diumumkan kerana ia sangat memberi manfaat kepada semua peminjam termasuk dirinya.

"Sebagai rakyat, saya gembira kerana insentif diskaun untuk peminjam PTPTN ini turut disenaraikan di dalam Belanjawan 2023.

"Ini membuktikan kerajaan juga prihatin terhadap rakyat yang berdepan dengan ekonomi yang kian mencabar dan mengambil berat terhadap kebajikan peminjam PTPTN.

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu membuat bayaran balik bagi meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang. Jadi, sudah pasti saya gembira kerana dapat menyelesaikannya," katanya yang berjaya menyelesaikan pinjamannya berjumlah RM43,343.04.

Muhammad Ammad yang kini bekerja sebagai Jurutera Sistem Kawalan Teragih (DCS) menyeru kepada semua peminjam PTPTN merebut peluang yang diberikan ini segera dengan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN anda memandangkan insentif diskaun ini akan berakhir pada 31 Mei 2023.

"Adat meminjam, ia wajib dipulangkan. Jadi saya menyeru kepada semua peminjam PTPTN untuk memanfaatkan peluang ini kerana kerajaan sudah menawarkan potongan yang agak tinggi.

"Dengan cara ini kita juga dapat memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pengajian Tinggi disebabkan masalah kewangan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai insentif ini, layari www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 10:50 AM