X
MOHD Muazzam (kiri) bersama Ahmad Dasuki pada pelancaran kempen Pay & Win With DD (DirectDebit). FOTO HAZREEN MOHAMAD
MOHD Muazzam (kiri) bersama Ahmad Dasuki pada pelancaran kempen Pay & Win With DD (DirectDebit). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


BANK Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Payments Network Sdn Bhd (PayNet) menganjurkan Kempen Pay & Win with DD (DirectDebit) dengan menawarkan hadiah bernilai RM50,000 kepada peminjam bertuah.

Kempen DirectDebit ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran DirectDebit selama tiga bulan mulai 1 Disember 2021 sehingga 28 Februari 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kempen ini dianjurkan sebagai usaha menghargai peminjam PTPTN yang komited membayar balik pinjaman pendidikan mereka secara konsisten melalui kemudahan perkhidmatan DirectDebit.

Katanya, kempen itu juga sebagai menyambut baik langkah kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 yang memberi insentif diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam PTPTN.

"Hasil kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan kolaborasi strategik iaitu pelaksanaan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah DirectDebit pada 2016 dan pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN pada 2018.

"Pengenalan kad debit terbabit bermatlamat untuk memperluas agenda masyarakat tanpa tunai dalam kalangan pelanggan PTPTN.

"Sehingga kini, sejumlah 94,131 kad debit terbabit telah dikeluarkan, malah angka ini melebihi sasaran awal kami iaitu sebanyak 50,000 kad bagi tempoh setahun selepas pelancarannya," katanya di majlis pelancaran Kempen DirectDebit di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kempen Pay & Win with DD ini menawarkan hadiah wang tunai berbentuk bayaran balik atau simpanan akaun Simpanan SSPN Prime melalui cabutan kepada pemenang bernilai RM50,000.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, peminjam yang menyertai kempen ini akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus berdasarkan potongan DirectDebit yang berjaya dan diterima oleh PTPTN dalam tempoh diskaun.

"Untuk menyertai kempen ini mudah sahaja, bagi peminjam yang belum membuat permohonan DirectDebit, hanya perlu membuat permohonan di portal rasmi PTPTN," katanya.

Katanya, PTPTN sentiasa komited dalam merancang dan mengatur strategi serta program yang dapat membantu meningkatkan kesedaran peminjam agar membuat bayaran balik.

"Bermula Januari sehingga 31 Oktober 2021, kami telah menerima kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM1.78 bilion, yang mana sejumlah 12.4 peratus daripadanya, atau RM220 juta adalah menerusi DirectDebit.

"Justeru, saluran DirectDebit ini sewajarnya dimanfaatkan oleh peminjam untuk memastikan bayaran balik pinjaman dibuat secara konsisten.

"Melalui kemudahan ini, peminjam dapat memastikan rekod bayaran balik pinjaman adalah baik dan mengelakkan tunggakan, sekali gus turut membantu meningkatkan dana pinjaman bagi pemberian pinjaman kepada pelajar baharu," katanya.

Kempen kali ini menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM50,000 untuk 41 pemenang dan pemenang utama akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM10,000, manakala hadiah saguhati disediakan kepada 40 pemenang dengan setiap pemenang akan menerima sebanyak RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:00 AM