HADZLAN Jablee. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
HADZLAN Jablee. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Izwan Abdullah

Papar: Kewujudan golongan anti vaksin dikenal pasti antara punca yang menyebabkan kadar vaksinasi Covid-19 di daerah ini masih rendah berbanding purata vaksinasi peringkat negeri yang kini sudah mencapai lebih 70 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee berkata, daerah itu mencatat 56 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa lengkap vaksin berbanding daerah di sekelilingnya yang sudah melebihi 60 peratus.

"Papar adalah antara daerah mencatat jumlah penerima vaksin yang rendah di Sabah. Setakat tiga minggu lalu, Papar hanya mencatat 56 peratus bagi dos kedua daripada 167,300 jumlah penduduknya.

"Kita sudah sedaya upaya untuk mencapai 60 peratus vaksinasi supaya daerah ini tidak terasing dan tertinggal berbanding daerah lain.

"Selepas diselidik, kita dapati antara penyumbang kepada kadar vaksinasi rendah itu ialah wujudnya segelintir masyarakat yang takut divaksin menyebabkan mereka menokak program vaksinasi kerajaan," katanya pada Program Sepakat @Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Sabah, di sini, semalam.

Menurutnya, Hadzlan meminta pemimpin masyarakat di daerah ini untuk mengenal pasti penduduk yang belum dan enggan menerima vaksin dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah.

Katanya, langkah itu memudahkan tindakan susulan untuk memujuk dan meyakinkan penduduk terbabit agar tampil mendapatkan vaksin Covid-19.

Selain itu, katanya dengan maklumat yanvmg diperolehi, pihaknya juga boleh mengadakan program dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan kepada penduduk terbabit.

"Vaksinasi adalah perkara nombor satu bagi saya dan tugas saya belum selesai walaupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah ditutup. Pemberian vaksin masih dijalankan di klinik kesihatan.

"Bagi memastikan semua penduduk divaksinasi, saya akan membawa pasukan dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan lebih mendalam mengenai vaksin supaya mereka boleh mendapatkan vaksin dengan segera," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa berkata, Jabatan Penerangan sedia membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah untuk mendepani isu anti vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:56 AM