GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di Sabah baru mencapai 75.5 peratus sekali gus masih ketinggalan berbanding pencapaian Sarawak dan Semenanjung, sehingga akhir bulan lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sehingga 30 November lalu, Sarawak mencatat 91.2 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin, manakala 96.9 peratus di Semenanjung.

Beliau berkata, pencapaian vaksinasi lengkap remaja berumur 12 tahun hingga 18 tahun di Sabah juga baru mencapai 71 peratus, berbanding 86.3 peratus di Sarawak dan 86.1 peratus di Semenanjung.

"Setakat 30 November 2021 kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri ini adalah 75.5 peratus membabitkan seramai 2,082,618 orang manakala kadar vaksinasi untuk remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun adalah 71 peratus atau 300,542 orang," katanya.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) mengenai perkembangan program vaksinasi Covid-19 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, antara sebab pencapaian vaksinasi yang rendah di Sabah ialah penggunaan unjuran populasi penduduk diperolehi daripada Jabatan Perangkaan yang berdasarkan statistik pada 2010.

"Penyelarasan pencapaian sebenar kadar vaksinasi hanya dapat diketahui dengan adanya hasil bancian daripada Jabatan Perangkaan dalam masa terdekat," katanya.

Shahelmey berkata, peratusan rendah vaksinasi lengkap di Sabah juga mungkin disebabkan ramai warga asing sudah pulang ke negara asal mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Beliau turut menjelaskan tiada masalah dari segi bekalan vaksin Covid-19 memandangkan bekalan vaksin sedia ada di Sabah setakat 30 November lalu ialah sebanyak 994,340 dos.

Mengenai pemberian dos penggalak, Shahelmey berkata setakat semalam, seramai 103,937 individu di Sabah sudah menerima suntikan vaksin secara sukarela.

Dalam pada itu, beliau berkata pemberian vaksin Covid-19 di Sabah masih giat dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) termasuk melalui Operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas (RAVO) yang dimulakan sejak 1 Oktober lalu.

Katanya, operasi itu disasarkan di enam daerah yang mencatat kadar vaksinasi rendah iaitu Kinabatangan, Kunak, Tawau, Tongod, Sandakan dan Nabawan.

"Operasi RAVO di enam daerah terbabit mendapati 99.42 peratus daripada responden yang layak menerima vaksin sudah lengkap divaksin.

"Ini menunjukkan bahawa majoriti penduduk sudah menerima vaksin menerusi program Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini," katanya.

#kw

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:47 PM