GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 di Sabah menurun kepada kurang 10 kes sehari selepas kadar vaksinasi lengkap penduduk mencapai tahap 75 peratus bermula Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, analisa dijalankan pihaknya mendapati berlaku kadar penurunan kematian ketara jika dibandingkan kes kematian direkodkan pada Ogos dan September tahun lalu.

"Pada Ogos dan September lalu, kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 (di Sabah) adalah antara 40 hingga 50 kes sehari.

"Analisa terkini kita yang baru saja selesai semalam menunjukkan selepas mencapai 75 peratus vaksinasi pada Disember lalu, kes kematian kurang daripada 10 sehari.

"Ini semua adalah fakta. Walaupun banyak cerita tidak benar mengenai vaksin, kita minta masyarakat siasat dulu cerita itu dan lihat fakta sebenar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan bilik laktasi atau penyusuan susu ibu di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, dengan tumpuan ketika ini adalah bagi suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak.

Katanya, sambutan terhadap kedua-dua dos yang masih rendah di Sabah perlu diatasi segera bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan sebaik mungkin untuk menghalang jangkitan teruk Covid-19.

Katanya, pengambilan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak juga adalah langkah sewajarnya dalam menghadapi kemasukan pelawat asing berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April depan.

Dalam perkembangan sama, katanya, semua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Sabah membabitkan pesakit yang tidak mengambil dos penggalak, manakala 50 peratus yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia terdiri daripada mereka yang tidak pernah menerima vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 2:48 PM