Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman individu terhadap kerajaan berhubung penarikan balik semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda dalam tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan ketika dihubungi berkata, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Perdana Menteri (yang tidak dinamakan dalam tuntutan saman) dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman itu.

Katanya, Hakim membuat keputusannya selepas memutuskan bahawa subjek dalam tuntutan saman berkenaan tidak boleh diadili oleh mahkamah dan Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membawa tindakan undang-undang berkenaan terhadap perdana menteri dan kerajaan.

Keputusan itu diberikan melalui prosiding sidang video yang turut dihadiri peguam Mohaji Selamat, mewakili plaintif.

Hakim turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM6,000 dalam masa 30 hari.

Pada 28 Mei tahun lalu, Mohd Hatta, 45, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan terhadap keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik balik semakan keputusan ICJ berhubung tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan dengan bukti kukuh sudah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd Hatta turut memohon perisytiharan bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia, termasuk plaintif, secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 12:30 PM