SEBAHAGIAN daripada foto tular menunjukkan kesan daripada al-Quran yang didakwa dibakar itu.
SEBAHAGIAN daripada foto tular menunjukkan kesan daripada al-Quran yang didakwa dibakar itu.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Jangan sensasikan atau membuat sebarang spekulasi supaya tidak menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.

Itu nasihat diberikan polis susulan kes penemuan al-Quran dengan kesan dibakar di jambatan Tasik Taman Seri Impian di sini, pada awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng, satu laporan polis sudah diterima daripada seorang perempuan Melayu yang memaklumkan kejadian itu semasa sedang bersenam di tasik berkenaan.

"Wanita berkenaan terjumpa senaskhah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan ayat sahaja.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan pihak polis menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkannya di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang.

Mereka boleh menghubungi talian 07-7784222, 07-7766822, 07-7784256 atau 014-3656822.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:45 AM