GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seorang juruteknik maut dipercayai ditikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau dalam pergaduhan di Jalan Ampuan, di sini, malam tadi.

Difahamkan, motif dendam menjadi punca pergaduhan antara mangsa berusia 45 tahun dan suspek berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penjaga rumah ibadat itu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya menerima aduan memaklumkan berlaku pergaduhan pada 9.54 malam tadi.

"Sebaik tiba, polis menemukan seorang lelaki terbaring berlumuran darah dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

"Susulan kejadian itu, polis membuat tangkapan ke atas seorang warga tempatan untuk siasatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek negatif dan suspek direman selama tujuh hari hingga 1 April untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Ibu Polis Daerah Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:55 AM