Al-Quran dengan kesan dibakar di jambatan Tasik Taman Seri Impian di Kluang Johor. FOTO OLEH MOHAMAD FAHD RAHMAT
Al-Quran dengan kesan dibakar di jambatan Tasik Taman Seri Impian di Kluang Johor. FOTO OLEH MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: "Suami saya sangkakan ia adalah sebuah majalah yang dibakar tetapi apabila lihat helaian yang terpisah berdekatan kawasan terbakar, baru suami saya sedar ianya ada senaskhah al-Quran bersama tafsiran," kata Siti Wahidah Wahid, 36.

Siti Wahidah adalah saksi kejadian kes penemuan sebuah al-Quran dengan kesan dibakar di jambatan Tasik Taman Seri Impian di sini, pagi semalam.

Kakitangan kerajaan itu berkata, dia dan suaminya, Syarifuddin Kasimin, 41, ke kawasan berkenaan untuk bersenam dan terlihat kejadian itu pada 7.30 pagi.

"Sebelum saya, ada seorang wanita yang nampak al-Quran itu terlebih dahulu tetapi dia berseorangan dan mengambil gambar sebelum berlalu dari tempat kejadian.

"Saya dan suami yang sampai ke lokasi itu kemudiannya mengenal pasti ia adalah al-Quran dan pada ketika itu kami mendapati ia masih berasap kesan daripada dibakar dan mempunyai bara kecil.

"Kami mengambil keputusan untuk mencari sumber air berdekatan untuk memadamkan bara berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia yang sudah menetap di kawasan perumahan berhampiran hampir 10 tahun lalu berasa sedih, kecewa dan marah kerana kitab suci itu diperlakukan sedemikian rupa.

"Selesai sahaja padam bara itu, wanita yang mula-mula nampak kejadian tadi datang bersama dua orang lagi wanita yang juga sedang membuat senaman di situ.

"Selepas itu, seorang daripadanya mengambil plastik dari keretanya dan saya bersamanya memasukkan baki al-Quran yang ada ke dalam plastik berkenaan.

"Selepas berbincang, akhirnya kami membuat keputusan ke Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi membuat laporan," katanya.

Sehingga petang semalam, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya sudah menerima enam laporan polis daripada saksi kejadian dan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kes itu.

Menurutnya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan pihaknya meminta mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu tampil bagi membantu siasatan polis.

"Jangan sensasikan atau membuat sebarang spekulasi agar tidak menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:09 PM