KKM mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM20,000 terhadap empat individu yang melanggar SOP PKP di Taman Sri Lambak. FOTO Ihsan Pembaca
KKM mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM20,000 terhadap empat individu yang melanggar SOP PKP di Taman Sri Lambak. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM20,000 terhadap empat individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Sri Lambak, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, dalam kejadian pada 4.30 petang itu, tiga individu terbabit didapati menziarahi sebuah rumah untuk berhari raya.

Beliau berkata, semalam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Daerah Kluang bersama petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kluang menjalankan operasi di kawasan Taman Sri Lambak.

"Ketika menjalankan operasi, kami mengesan sebuah rumah dan menemukan empat lelaki berkumpul di ruang balkoni rumah berkenaan.

"Hasil siasatan yang dijalankan, ketiga-tiga lelaki berkenaan datang berziarah ke rumah itu sempena Aidilfitri sedangkan aktiviti itu tidak dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang PKP," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, KKM mengeluarkan empat kompaun mengikut Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

Menurutnya, polis menyeru orang ramai agar mematuhi arahan dikeluarkan MKN bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 077784222 atau hotline 077766822, talian terus 077784256 atau tablet DCC 0143656822.

Sementara itu, sejak petang semalam tular mengenai kejadian berkenaan di aplikasi media sosial WhatsApp mengenai kehadiran petugas KKM dan polis di kawasan perumahan itu yang memantau pelanggaran SOP PKP dan mengeluarkan kompaun kepada pesalah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 11:02 PM