JOHOR membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mengikut kapasiti bangunan dengan mengambil kira penjarakan fizikal, bermula Jumaat ini. FOTO Arkib NSTP
JOHOR membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mengikut kapasiti bangunan dengan mengambil kira penjarakan fizikal, bermula Jumaat ini. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mengikut kapasiti bangunan dengan mengambil kira penjarakan fizikal, bermula Jumaat ini.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata, dalam tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), solat fardu dan jenazah adalah mengikut satu pertiga dewan solat masjid dan surau.

"Jemaah lelaki dan wanita yang hadir ke masjid atau surau perlu menunjukkan bukti sijil digital vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi kepada petugas rumah ibadat berkenaan.

"Bagi jemaah lelaki mukallaf dan belum menerima vaksin, mereka hendaklah solat di kediaman masing-masing, selain waktu solat Jumaat tidak dibenarkan berada di tempat awam.

"Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau, antara yang dibenarkan ialah majlis membudayakan al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil selain kuliah subuh serta maghrib terhad kepada penceramah dalam daerah yang lengkap vaksin serta tempoh kuliah tidak melebihi sejam," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara program yang ditangguhkan meliputi majlis Maulidur Rasul, majlis zikir, selawat, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas, selain kuliah Jumaat, program kumpulan wirid, program kumpulan tarikat serta program bermalam.

Katanya, kelas pengajian secara atas talian adalah digalakkan. Namun aktiviti memasak mahupun jamuan dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan dengan juadah hanya secara bungkusan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:16 PM