FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk atau peranti perubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM1 juta.

Ketua Eksekutif MDA Ahmad Shariff Hambali berkata, rampasan berkenaan diperoleh menerusi serbuan dijalankan 18 pegawai penguatkuasa MDA semalam hasil risikan terperinci dan aduan orang awam ke atas sebuah syarikat di Shah Alam.

"Nilai keseluruhan produk yang dirampas dianggarkan melebihi RM1 juta dan peranti yang dirampas adalah seperti pelitup muka perubatan, oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19.

"Modus operandi mereka adalah menjual peranti itu melalui platform dalam talian atau e-dagang dan membekalkannya kepada syarikat pengedar lain," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, syarikat itu didapati melanggar seksyen 5 (1), Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), iaitu meletakkan peranti perubatan yang tidak berdaftar di bawah Akta 737 dalam pasaran.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut seksyen 5 (2), Akta 737 iaitu denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Orang awam digalakkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu peranti melalui laman sesawang mdar.mda.gov.my," katanya.

Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada MDA KKM melalui Sistem Pengurusan Maklum balas MDA (MDAFEMES) di alamat femes.mda.gov.my supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan peranti perubatan yang tidak berdaftar di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 2:38 PM