Gula-gula perangsang seks haram jenama ‘Candy B+ Complex’ yang dirampas Kementerian Kesihatan.
Gula-gula perangsang seks haram jenama ‘Candy B+ Complex’ yang dirampas Kementerian Kesihatan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


ORANG ramai ditegah memakan gula-gula perangsang seks haram jenama ‘Candy B+ Complex’ yang dikenal pasti mengandungi racun berbahaya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya menerima aduan dan maklumat daripada orang awam berkenaan penjualan produk tidak berdaftar itu secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.11street.my.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah berkata, produk yang diiklankan di dalam laman sesawang itu perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memandangkan hasil analisa menunjukkan produk itu mengandungi racun berjadual iaitu Tadalafil.

Menurutnya, hasil maklumat dan laporan awam, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) KKM menjalankan serbuan melalui `Ops Candy’ pada 26 Mac sebelum merampas produk itu dianggarkan bernilai RM1.129 juta.

“Hasil rampasan turut meliputi beberapa jenis makanan dan minuman yang disyaki dicemari racun berjadual, kosmetik yang tidak bernotifikasi dan beberapa buah peranti digital.

“Kesemua produk yang dirampas akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 di mana jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, kementerian memberi amaran tegas kepada sesiapa yang mempunyai stok produk ini supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta kerana penggunaan produk ini boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual seperti mati pucuk atau nama lainnya impotens / Erectile Dysfunction (ED). Penggunaan ubat ini memerlukan pengawasan yang teliti daripada pengamal perubatan yang berdaftar dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang awam.

KKM juga ingin menasihati orang ramai supaya berwaspada sebelum membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran adalah berdaftar atau bernotifikasi.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

Orang ramai termasuk pihak media digalakkan untuk mengemukakan laporan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:01 PM