FOTO Ihsan Facebook KKM
FOTO Ihsan Facebook KKM
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan cecair pembasmi kuman tangan jenama Bidara Ruqyah Al-Amin Al-Baghdadi tidak diluluskan agensi itu dan orang ramai dinasihatkan tidak membeli produk berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook Program Perkhidmatan Farmasi KKM, semua produk cecair pembasmi kuman perlu dirujuk dengan KKM sebelum dipasarkan di Malaysia untuk memastikan ia berkualiti dan selamat digunakan.

“Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” kata kenyataan itu.

Katanya, iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat adalah satu perlanggaran di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956) jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati semasa membeli produk ‘hand sanitizer’ di pasaran.

“Semakan status produk boleh dibuat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di pautan www.npra.gov.my,” katanya.

Dalam hantaran lain, KKM menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila membeli produk berkenaan terutamanya menerusi dalam talian.

“Mana tau bila barang sampai rupa-rupanya produk tiruan yang tidak berkesan untuk menyahkuman.

“Peniaga pula tolong jangan ambil kesempatan menjual produk tidak berdaftar atau tidak bernotifikasi.Penjualan ubat tidak berdaftar atau kosmetik tidak bernotifikasi adalah satu kesalahan dan jika sabit dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 dan atau tidak melebihi tiga tahun penjara,” katanya.

Menurutnya, KKM menasihatkan supaya orang ramai jangan terus percaya iklan berkenaan sebaiknya semak nombor notifikasi kosmetik (bagi hand sanitizer) atau nombor pendaftaran MAL ubat serta pelekat keselamatan hologram (bagi disinfectant).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 1:01 PM