Siti Rohana Idris


Jeli: Bimbang dengan madu yang dijual di pasaran tidak asli atau dicampur, Deris Che Soh, 58, nekad masuk sendiri ke hutan mencari sarang lebah kelulut dengan tujuan memelihara pemakanan hariannya.

Dia yang juga penoreh getah dari Kampung Dendong di sini mula menternak lebah kelulut dalam skala kecil namun tidak menyangka ia membuahkan hasil apabila wujud permintaan dari masyarakat setempat.

Keadaan itu menyebabkan Deris atau Pok Ki terpaksa mencari lebih banyak sarang lebah kelulut di dalam hutan bagi memenuhi permintaan.

"Saya menternak lebah kelulut sejak lima tahun lalu dan kini memiliki 38 lot sarang yang diternak di perkarangan rumah.

"Pada awalnya saya masuk ke hutan berhampiran Banjaran Titiwangsa, Perak semata-mata untuk mencari sarang lebah kelulut untuk pemakanan sendiri namun sebaik dilihat menjadi, penduduk setempat meminta untuk jualan.

"Disebabkan itu saya mencari lagi beberapa sarang di dalam hutan yang sama manakala selebihnya diperoleh dari mana-mana kilang papan lapis atau penebang kayu hutan yang terjumpa sarang lebah kelulut," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Pok Ki berkata, hasil madu kelulut yang boleh dikatakan setiap hari mampu disedut daripada sarang adalah bergantung kepada bunga tanaman di sekitar rumahnya.

Katanya lagi jika bunga durian atau rambutan banyak berbunga maka banyak hasil yang dikeluarkan lebah kelulut dan sebagai langkah alternatif, dia menanam pokok bunga Air Mata Pengantin di belakang rumah.

"Pokok bunga Air Mata Pengantin sentiasa berbunga dan jika tiada bunga durian atau rambutan, lebah kelulut boleh menyedut madu di pokok berkenaan.

"Hasil madu kelulut adalah bergantung kepada banyak mana serangga itu menyedut madu dari tanaman dan untuk lot yang ternak ini ia boleh mencecah dua kilogram untuk satu sarang," katanya sambil memberitahu pengunjung yang datang dibenarkan mencuba sendiri menyedut madu kelulut dari sarang yang diternak.

Pok Ki berkata, madu kelulut hasil ternakannya bukan sekadar menampung permintaan penduduk sekitar tapi juga dihantar ke beberapa negeri luar termasuk Selangor dan Negeri Sembilan melalui pos.

Dengan harga RM25 untuk botol kecil dan RM150 bagi sekilogram madu kelulut, harga yang ditawarkan dianggap sudah memadai dengan hasil yang dikatakan asli tanpa sebarang campuran.

"Jika disimpan dalam peti sejuk, madu kelulut asli tidak akan beku dan sentiasa cair manakala jika yang sudah dicampur, di bahagian bawah madu itu akan beku menunjukkan ia tidak asli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 1:49 PM
Sebahagian pengunjung yang datang dibenarkan mencuba sendiri menyedut madu kelulut dari sarang yang diternak oleh Deris Che Soh dari Kampung Dendong di sini, menternak sendiri lebah kelulut di perkarangan rumah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian pengunjung yang datang dibenarkan mencuba sendiri menyedut madu kelulut dari sarang yang diternak oleh Deris Che Soh dari Kampung Dendong di sini, menternak sendiri lebah kelulut di perkarangan rumah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR