Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kadar vaksinasi Malaysia terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan 88 peratus atau 20,603,249 individu daripada populasi dewasa sudah lengkap divaksin.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Twitter beliau pagi ini.

"88% populasi dewasa sudah lengkap divaksin.

"Cuma tinggal 2% lagi untuk pembukaan sempadan negeri dan rakyat Malaysia tidak perlu lagi memohon MTP (MyTravelPass) untuk ke luar negara," katanya.

GAMBAR hiasan. Orang ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Program Penutup Mobilisasi Komuniti (MOVAK) Outreach 1.0 di Georgetown, kelmarin. FOTO Mikail Ong
GAMBAR hiasan. Orang ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Program Penutup Mobilisasi Komuniti (MOVAK) Outreach 1.0 di Georgetown, kelmarin. FOTO Mikail Ong

Sistem MTP mula diperkenalkan Jabatan Imigresen sejak Oktober tahun lalu selaras dengan sekatan perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah pencegahan penularan virus Covid-19, namun selepas setahun penguatkuasaan itu dilaksanakan ia dikecualikan bermula 1 Oktober lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan Malaysia bakal membenarkan perjalanan luar negara Disember ini atau lebih awal selari dengan kebenaran merentas negeri apabila kadar vaksinasi penduduk dewasa di negara ini mencecah 90 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 10:48 AM