Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
BERNAMA

Maran: Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menutup kilang yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, PBT boleh menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bersama Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Pada 29 Jun lepas, kerajaan pusat telah menurunkan kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak termasuk individu, syarikat dan kilang yang tidak mematuhi SOP dengan mereka boleh dikompaun mengikut Akta 342.

"PBT di seluruh negara boleh menguatkuasakannya, jadi tidak ada isu PBT tidak boleh tutup kilang kerana mereka boleh menggunakan Akta 342 dan disokong Akta 171, bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menutup dan mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kampung Serengkam dan Kampung Orang Asli Merbau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker.

Semalam, media melaporkan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor Ng Sze Han berkata, PBT tidak mempunyai kuasa bagi menutup kilang dalam membendung penularan Covid-19 kerana kuasa terbabit di bawah kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Zuraida berkata, Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (Mosti) memperuntukkan 225,000 dos vaksin Covid-19 kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perpaduan Negara bagi memberi suntikan vaksin antaranya kepada Orang Asli, peneroka Felda, kampung tradisional, penjaja dan penduduk Program Perumahan Rakyat.

"Bagi Sabah dan Sarawak, Kementerian Perpaduan Negara akan menerajuinya melalui Komuniti Rukun Tetangga iaitu pengerusi penduduk akan membuat panggilan telefon kepada penduduk bagi memastikan mereka mendaftar serta hadir menerima vaksin," katanya.

Mengulas mengenai MOVAK di Maran, Zuraida berkata, ia diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan kira-kira 1,000 penduduk kawasan itu akan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:10 PM