Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian memulakan takwim sesi persekolahan pada bulan Mac tahun depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketetapan KPM untuk melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga Januari dan Februari tahun depan dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian yang mendalam.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa negeri, pengetua dan guru besar.

Katanya, perbincangan turut dilakukan bersama pakar dan persatuan perguruan untuk memastikan supaya ketetapan ini mengambil kira pelbagai aspek.

"(Ia juga) memastikan supaya kita dapat guna sebaiknya (dalam) tempoh Januari dan Februari ini untuk memastikan anak-anak ini betul-betul bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya.

"Jadi, Insya Allah ketetapan ini kita akan teruskan dan kita yakin pendekatan ini akan memberi ruang yang cukup pada anak-anak kita untuk diasah dan dipastikan sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai tahap penguasaan minimum yang diperlukan sebelum mereka naik ke kelas berikutnya," katanya.

RADZI semasa sidang media selepas melakukan tinjauan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains, Dungun hari ini. FOTO Ghazali Kori
RADZI semasa sidang media selepas melakukan tinjauan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains, Dungun hari ini. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian selepas meninjau sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, di sini, hari ini.

Terdahulu, Radzi juga turut melakukan tinjauan di beberapa sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Terdahulu, KPM sedang mengkaji kesesuaian untuk memulakan sesi persekolahan setiap tahun pada Mac dengan sesi 2022 akan datang sebagai permulaan sebagai panduan.

Bagaimanapun, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Selangor (UNISEL), Prof Madya Dr Gunasegaran Karuppannan dipetik berkata, anjakan tarikh permulaan persekolahan itu tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa dengan keadaan penularan Covid-19 yang tidak menentu ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 1:19 PM