Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pembukaan semula sesi persekolahan yang dijadualkan pada 1 September ini ditangguhkan ke 3 Oktober depan.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan itu akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, sesi persekolahan secara bersemuka itu hanya bagi sekolah di negeri Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Perincian untuk Fasa 1 PPN akan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

"Namun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tiada ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Menjelaskan ketetapan KPM mengenai pembukaan sekolah, Dr Radzi berkata, keputusan dibuat mengambil kira dua faktor iaitu keselamatan anak-anak dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Beliau berkata, KPM sentiasa mendapatkan data terkini daripada KKM selain mendengar pandangan daripada pakar berkaitan sebelum menetapkan tarikh pembukaan semula sekolah.

"Walaupun tarikh ditetapkan pada 1 September sebelum ini namun saya sudah jelaskan dalam kenyataan media sebelum ini bahawa sebarang perubahan akan diumumkan," katanya.

Selain itu, menurutnya, keputusan juga berdasarkan kepada jumlah guru yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 mesti 61.3 peratus daripada keseluruhan guru manakala 46.3 peratus dalam kalangan anggota kumpulan pelaksana (AKP).

Beliau berkata, setakat hari ini, jumlah guru yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos adalah 92.4 peratus manakala AKP (87.9 peratus) dan kakitangan sokongan (72.4 peratus).

"Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai pembukaan semula sekolah.

"Percayalah dalam setiap keputusan yang kami ambil untuk membuka semula sekolah, keselamatan anak-anak kita sentiasa menjadi keutamaan. Namun begitu, kita ingin melihat anak-anak dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah dengan guru dan bermain dengan kawan-kawan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 9:33 PM