DATUK Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO NSTP
DATUK Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Md Jidin bersama empat guru hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, di sini.

Radzi ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin itu turut menyeru rakyat Malaysia termasuk lebih 500,000 guru di seluruh negara untuk segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan berkenaan.

Katanya, empat individu terbabit adalah antara 55,539 guru berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang tersenarai menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Masa kena suntik (vaksin)...tidak rasa apa-apa. Alhamdulillah semuanya baik dan semua rakyat Malaysia perlu mengambil ruang ini untuk daftar segera di MySejahtera supaya proses vaksinasi dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula Isnin ini dan suntikan vaksin itu adalah bagi memastikan keadaan selamat dan selesa untuk murid-murid dan guru-guru di seluruh negara seterusnya sesi persekolahan berjalan lancar.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi di sekolah seluruh negara apabila sesi persekolahan bermula supaya sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Ditanya adakah kehadiran murid-murid di sekolah secara bersemuka diwajibkan, beliau berkata ibu bapa harus menulis surat kepada sekolah dengan dokumen sokongan untuk rekod jika tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah atas sebab tertentu seperti kesihatan.

"KPM akan sedaya upaya memastikan sesi persekolahan Isnin nanti berjalan dengan selamat serta menjadi satu ruang untuk anak-anak kembali belajar secara bersemuka," katanya.

Radzi pada 19 Februari lalu mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 akan bermula pada 1 Mac ini.

Keputusan itu membabitkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 2:30 PM