GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Pembukaan sekolah minggu hadapan diharapkan berjalan lancar, teratur dan terkawal.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sudah pasti sesi persekolahan kali ini dinantikan namun pelajar, ibu bapa, penjaga serta warga setempat bersiapsiaga dengan pematuhan prosedur operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, dengan kesiapsiagaan persekitaran bersih dan dijaga rapi selain majoriti guru sudah divaksin tentunya sekolah dalam keadaan selamat dan mampu kembalikan keceriaan serta semangat pelajar menuntut ilmu.

"Bagaimanapun ibu bapa, penjaga serta warga pendidik perlu senantiasa waspada dan tidak merasa selesa sepenuhnya.

"Penekanan terhadap SOP juga perlu sentiasa diingatkan agar tiada sesiapa yang leka dan mengambil mudah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bagi Mohd Nasser Mohd Ali, 36, berkata tahap kesihatan anak terus menjadi keutamaan ibu bapa sebaik sesi persekolahan bermula secara berperingkat Isnin ini.

Katanya, kebimbangan itu lebih tinggi kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang masih berada di sekolah rendah terutamanya perkumpulan ramai selepas sesi persekolahan.

Bagaimanapun, katanya, dia menaruh kepercayaan tinggi kepada pihak sekolah untuk memastikan SOP di dalam kawasan sekolah dipantau oleh guru sebaik mungkin.

Katanya, anak perempuannya juga kini sudah dilatih dengan SOP sebagai persediaan sebaik sesi persekolahan dibuka semula nanti.

"Saya yakin guru akan pastikan murid patuh SOP sepanjang berada di sekolah untuk sesi pembelajaran dan pengajaran serta waktu rehat.

"Namun agak bimbang sebaik tamat sesi persekolahan akan berlaku perkumpulan ramai yang sukar dikawal," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nasser berkata, sebagai bapa sudah pasti dia mahu sesi pembelajaran anaknya lancar namun dalam masa sama memastikan SOP dipatuhi agar tiada isu jangkitan berlaku.

Bermula Isnin ini, sekolah akan mula beroperasi secara berperingkat selepas ditutup beberapa bulan lalu ekoran penularan Covid-19 di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:21 PM