Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Murid prasekolah di Selangor memulakan sesi persekolahan hari ini selepas lebih tiga bulan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Tinjauan di beberapa sekolah di Semenyih dan Kajang mendapati ibu bapa mula menghantar anak masing-masing sejak jam 7.20 pagi.

Guru menanti kehadiran murid sebelum melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan.

Bapa, Kamarudin Mahmud, 45, berkata, dia berharap sesi pembelajaran dan pengajaran kali ini berjalan lancar dengan pematuhan SOP.

Dia berkata, anak bongsunya Nur Naura Qhayla, 6, sudah diajar mengenai SOP agar lebih mudah diamalkan apabila sesi persekolahan bermula.

"Anak saya sudah pasti teruja apabila dapat meneruskan semula sesi persekolahan dan bertemu rakan sekelas serta guru.

"Sesi bersemuka ini lebih baik kerana anak mampu memberi tumpuan lebih baik berbanding PdPR," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Taman Jasmin, di sini, hari ini.

Murid mengaminkan doa sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di Tabika Nursuria, Taman Medan, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Murid mengaminkan doa sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di Tabika Nursuria, Taman Medan, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Siti Zailika Zainudin, 34, berkata, anak keduanya Nur Iman Insyirah, 6, teruja untuk kembali ke sekolah selepas menjalani pembelajaran di rumah.

Katanya, anaknya sudah dibiasakan dengan pematuhan SOP agar ia memudahkan guru ketika sesi persekolahan.

"Sudah pasti anak teruja dan kini mereka meneruskan persekolahan dengan normal baharu.

"Walaupun agak janggal kerana perlu memakai pelitup muka namun mereka perlu membiasakan diri," katanya.

Sesi persekolahan bagi murid tahap satu bermula 1 November dan 8 November nanti bagi murid tahap dua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 10:52 AM