MAJLIS menandatangani MoU antara IMAN dan GUC pada 23 September lalu. FOTO Ihsan IMAN
MAJLIS menandatangani MoU antara IMAN dan GUC pada 23 September lalu. FOTO Ihsan IMAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penubuhan Institut Pendidikan dan Penyelidikan Iman (IPPI) mampu berperanan sebagai platform dalam usaha menyediakan peluang-peluang pendidikan di negara ini.

Setiausaha Agung Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Dr Amir Hamzah Abdul Rajak berkata, ia juga bertindak sebagai pusat kajian dan pembangunan (R&D) masyarakat India Muslim.

Menurutnya, pendidikan antara sektor paling kritikal dalam menjana bakat dan potensi insan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.

"Ia amat dititikberatkan oleh kepimpinan Iman yang yakin hanya pendidikan dapat melahirkan sebuah bangsa berjaya dan memacu kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia.

"Justeru, IPPI bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan, kemasukan ke universiti, matrikulasi, program asasi berkaitan dengan masyarakat India Muslim amnya serta ahli-ahli Iman khasnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Iman dan Geomatika University College (GUC), baru-baru ini.

Iman diwakili Presidennya Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak dan Dr Amir Hamzah.

Manakala GUC pula diwakili oleh Naib Canselornya Prof Dr Noor Rosly Hanif dan Timbalan Naib Canselor II Mazerin Rohizaq Che Rose.

Dr Amir Hamzah berkata, Iman memilih GUC sebagai rakan strategik atas beberapa faktor termasuk urus tadbir universiti itu yang tersusun dan cekap serta kualiti pengajian yang ditawarkan.

"GUC juga mempunyai rangkaian pendidikan bermula dari tadika, sekolah swasta tempatan dan antarabangsa, pusat bertauliah bagi kursus kemahiran, program akademik bermula dari sijil, diploma, ijazah, sarjana sehingga ke peringkat kedoktoran.

"Malah, GUC juga mendapat pengiktirafan sebagai sebuah universiti sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, pelajar yang menyambung pengajian di GUC bakal mendapat keistimewaan termasuk yuran pendaftaran program hanya RM100 dengan baki yuran pendaftaran akan ditanggung oleh Iman.

Katanya, penginapan percuma dan elaun sara diri sehingga RM1,000 juga ditawarkan bergantung kepada program pengajian.

"Yuran pengajian ditanggung oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) manakala baki yuran pengajian akan ditanggung oleh Iman atau Yayasan Geomatika.

"Selain itu, program pengajian ODL juga ditawarkan kepada ahli-ahli Iman yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah, sarjana serta program keusahawanan dan jaminan kerja selepas tamat pengajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:17 PM