NAZLEE (kiri) bersalaman dengan Whitford selepas menandatangani MoU Pembiayaan Pendidikan-i, semalam.
NAZLEE (kiri) bersalaman dengan Whitford selepas menandatangani MoU Pembiayaan Pendidikan-i, semalam.
Zuhainy Zulkiffli


GEORGETOWN: Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic), anak syarikat milik penuh Affin Bank Berhad (Affin Bank) sehingga kini sudah meluluskan RM18.6 juta bagi produk Pembiayaan Pendidikan-i.

Ketua Eksekutifnya, Nazlee Khalifah berkata, jumlah keseluruhan itu dicatatkan sehingga Julai lalu sejak produk berkenaan dilancarkan secara rasmi pada Februari 2017.

Katanya, ia selaras dengan matlamat institusi terbabit bagi membantu pelan pendidikan pelajar di 53 panel universiti dan kolej seluruh negara.

“Terdahulu, kami menerima lebih 1,000 permohonan bagi mendapatkan pembiayaan ini, namun hanya 451 daripadanya sudah disemak atau diproses.

“Daripada jumlah itu, 376 permohonan sudah diluluskan dan kini kami juga menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan sebanyak RM30 juta bagi tahun ini,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembiayaan Pendidikan-i antara Affin Islamic dengan Royal College Surgeon Ireland (RCSI) dan University College of Dublin (UCD) Malaysia Campus (RUMC) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Nazlee mewakili Affin Islamic bagi menandatangani perjanjian terbabit, manakala RUMC diwakili Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pendaftar RUMC, Prof David Whitford.

Menurut Nazlee, perjanjian berkenaan adalah inisiatif institusi terbabit bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan kewangan yang disediakan secara komprehensif dan inovatif bagi meringankan beban pelajar.

Katanya, program pembiayaan yang disediakan pihak bank kepada RUMC, dirumus secara bersepadu dengan mengambil kira keperluan kewangan yang diharap akan mencapai bilangan lebih besar.

“Perjanjian ini menandakan komitmen kami bagi meningkatkan ikatan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana kami percaya pelaburan dalam pendidikan adalah untuk keperluan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Whitford berkata, RUMC ingin memastikan lebih ramai pelajar mendapat peluang pendidikan kelas pertama dan diiktiraf dengan baik sepanjang pengajian perubatan mereka di Ireland dan Pulau Pinang.

“Skim ini menawarkan pilihan kepada pelajar bagi membiayai pengajian mereka dan membolehkan ahli keluarga atau penjaga menyokong keperluan pendidikan pelajar sama ada bagi sebahagian program atau kos penuh sesuatu program,” katanya.

Pembiayaan berkenaan adalah terbuka kepada pelajar Asasi, sijil, prauniversiti, diploma, ijazah, pascasiswazah dan juga kursus profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 6:51 AM