NAZLEE  (dua dari kiri) dan Sulaiman bertukar dokumen pada majlis memorandum persefahaman  antara Affin Islamic dengan Mata, semalam. FOTO Owee Ah Chun
NAZLEE (dua dari kiri) dan Sulaiman bertukar dokumen pada majlis memorandum persefahaman antara Affin Islamic dengan Mata, semalam. FOTO Owee Ah Chun
Nasuha Badrul Huzaini


SHAH ALAM: Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) menyasar untuk meluluskan pembiayaan bagi produk Pembiayaan Pendidikan-i berjumlah RM80 juta hingga RM100 juta pada tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Nazlee Khalifah berkata, sejak produk berkenaan dilancarkan secara rasmi pada Februari 2017, ia sudah memberikan pembiayaan kepada 500 pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih.

Katanya, Affin Islamic juga sudah bekerjasama dengan 48 IPT bagi menawarkan produk pembiayaan berkenaan yang terbuka kepada semua pelajar program asasi, sijil, pra-universiti, diploma, ijazah, pascasiswazah dan kursus profesional.

“Justeru, kami menyasar untuk bekerjasama dengan 15 hingga 20 IPT lagi untuk tahun ini,” katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Akademi Latihan Penerbangan Malaysia (Mata), semalam.

Ketua Eksekutif Kumpulan yang juga Pengarah Mata, Datuk Sulaiman Dahlan memeterai MoU berkenaan bagi pihak akademi itu.

Produk Pembiayaan Pendidikan-i adalah produk patuh Syariah yang direka untuk membantu pelan pendidikan pelajar di IPT terbabit.

Tempoh pembayaran semula adalah selama 15 tahun dan ketika pelajar yang terbabit belum tamat belajar, ibu bapa hanya perlu membayar kadar keuntungan kepada bank.

Mengulas lanjut, Nazlee berkata, kerjasama yang dijalin dengan Mata itu menandakan komitmen pihaknya untuk meningkatkan ikatan kerjasama strategik dengan IPT di negara ini.

“Kami berhasrat untuk memberi bantuan pembiayaan kewangan kepada pelajar dalam pelbagai peringkat pendidikan tinggi kerana kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:55 AM