Operasi Penguatkuasaan Hutan secara bersepadu dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk merobohkan kawasan penempatan yang dibina dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong Gombak berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ketika tinjauan hari ini.
 FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
Operasi Penguatkuasaan Hutan secara bersepadu dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk merobohkan kawasan penempatan yang dibina dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong Gombak berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ketika tinjauan hari ini.
 FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Teroka hutan simpan secara haram sejak 20 tahun lalu untuk dijadikan dusun buah-buahan selain aktiviti penternakan ayam dan lembu.

Kegiatan dilakukan di dalam kawasan hutan simpan seluas 14 hektar di Bukit Lagong, di sini, berakhir apabila

sebanyak 23 struktur dibina peneroka dirobohkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor tadi.

Operasi Op Lagong selama dua hari itu dilakukan selepas notis diberikan sebelum ini tidak diendahkan.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Noor berkata, pihaknya turut merobohkan sebuah rumah dua tingkat.

"Notis berhubung pencerobohan itu sudah ditampal di semua struktur berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Kita menjangkakan terdapat kira-kira 50 hingga 60 individu yang menceroboh tanah di kawasan hutan simpan ini," katanya pada sidang media di lokasi itu tadi.

Norddin berkata, pihaknya mendapati terdapat aktiviti penerokaan baru dilakukan di kawasan sama berdasarkan saiz pokok ditanam.

"Anggaran tempoh pencerobohan selama 20 tahun dikenal pasti berdasarkan saiz pokok ditanam di kawasan yang diteroka.

"Pada peringkat awal, timbul masalah dari segi persempadanan kerana tidak terlalu jelas. Namun kini kita sudah mengenalpasti semula persempadanan sebelum tindakan diambil," katanya.

Menurutnya, sebanyak 13 struktur dirobohkan semalam dan operasi akan diteruskan esok membabitkan

baki 10 lagi struktur.

"Semua tindakan ini diambil mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu di bawah Seksyen 32 dan Seksyen 81 yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:09 PM