Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Operasi Cincang yang dilaksanakan Pejabat Hutan Daerah (PHD) mengambil masa kira-kira sejam untuk memusnahkan lebih 200 pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Lepar di sini, hari ini.

Pokok kelapa sawit berusia antara lima hingga tujuh bulan itu didapati ditanam di bekas kawasan matau atau pusat pengumpulan balak di Kompatmen 37 membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.78 hektar.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran Norshazlee Roslee berkata, pencerobohan Hutan Simpan Lepar itu dipercayai dilakukan selepas lesen pembalakan di kawasan berkenaan tamat tempuh kerja.

Menurutnya, individu yang melakukan kegiatan itu dipercayai sudah biasa dengan kawasan terbabit, dia seolah-olah mengambil peluang untuk menanam pokok kelapa sawit selepas aktiviti pembalakan di situ selesai.

Katanya, hasil rondaan dilakukan Unit Tindakan Khas (UTK) PHD Kuantan, Pekan dan Maran menemui kawasan tanaman kelapa sawit berkenaan yang dipercayai ditanam lima hingga tujuh bulan lalu.

"Kita mengambil keputusan mengadakan Operasi Cincang hari ini yang disertai lebih 40 kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran termasuk Unit Penguat Kuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan pemantauan sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan petugas.

"Hanya dalam masa kira-kira sejam semua pokok kelapa sawit berjaya dimusnahkan dengan cara mencabut dan memotongnya," katanya yang turut sama menyertai operasi berkenaan, hari ini.

Kerja memusnahkan 200 pokok kelapa sawit dilakukan pada Operasi Cincang di Hutan Simpan Lepar. FOTO  MOHD RAFI MAMAT
Kerja memusnahkan 200 pokok kelapa sawit dilakukan pada Operasi Cincang di Hutan Simpan Lepar. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Turut sama Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya gagal mengesan dalang yang terbabit menceroboh untuk menanam lebih 200 pokok kelapa sawit dalam Hutan Simpan Lepar itu.

Norshazlee berkata, pihak yang menceroboh serta memasuki hutan simpan tanpa permit untuk apa juga tujuan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Menurutnya, lebih banyak operasi cincang dan musnah akan diadakan pihaknya pada masa akan datang dalam memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, Pekan dan Maran tidak terus berlaku hingga menyebabkan merugikan pada kerajaan negeri.

"Sudah tiba masanya aktiviti pencerobohan hutan simpan perlu disekat sepenuhnya, kawasan yang diceroboh dengan aktiviti pertanian berskala kecil dan sederhana akan dimusnahkan.

"Sokongan kuat pelbagai pihak terutama kerajaan negeri dan JPNP menambahkan lagi keyakinan saya untuk terus melakukan operasi ceroboh hutan simpan di tiga daerah dibawah kawalan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:28 PM