Pengasas PMYT di majlis Istitabah Masitah Ab Jalar di Shah Alam hari ini. Foto Amirudin Sahib
Pengasas PMYT di majlis Istitabah Masitah Ab Jalar di Shah Alam hari ini. Foto Amirudin Sahib
Skuad Khas Harian Metro

Shah Alam: Pengikut ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) tidak perlu membuat pengakuan bertaubat seperti dilakukan pengasasnya hari ini.

Sebaliknya, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, mereka perlu terus bertaubat kepada Allah SWT.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau sebarang aktiviti membabitkan pengikut ajaran itu kerana pengisytiharan itu tidak membabitkan pembatalan mana-mana seksyen berkaitan.

"Seperti saya sebut tadi, dengan pengisytiharan ini tidak membatalkan Seksyen 7 dan 8 Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

"Jika Puan Masitah (Ab Jalar)melakukan benda (kesalahan) yang sama walaupun sudah isytihar taubat, tindakan penguatkuasaan akan terus dikuatkuasakan.

"Kita bimbang berlaku pemahaman yang taasub, ia bahaya untuk akidah dan keselamatan negara.

"Kemungkinan ada yang taasub, kalau ada, mereka perlu kembali ke pangkal jalan," katanya ketika sidang media selepas majlis Istitabah Masitah Ab Jalar di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, majlis seumpama itu bukan kali pertama, sebaliknya pernah diadakan ke atas ajaran Al-Arqam dan Rasul Melayu tidak lama dulu.

"Inilah dia agama, apapun yang dilakukan adalah untuk menyelamatkan (akidah). Kalau contohnya Puan Masitah tak akur dengan Seksyen 7 dan 8, ia akan dikuatkuasakan, itu jelas.

"Kalau sabit perbicaraan, ia tidak sama dengan kes jenayah lain, mesti ke pusat pemulihan sebab kita nak selamatkan akidah seseorang.

"Kita tak mahu orang lebih jauh dari Tuhan, lebih rosak dan teruk. Sebab ada yang berlaku juga, balik ke perbuatan lama. Itu sebabnya pendekatan ini dilihat dan kami mengharapkan dapat menyelamatkan Masitah dan kawan-kawannya yang lain," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 10:36 PM