Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Umpama bom jangka. Itu adalah gambaran berhubung pergerakan kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), sekali gus memberi risiko keselamatan terhadap negara.

Pakar Deradikalisasi Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam berkata, kumpulan berkenaan sudah memasuki fasa dua daripada empat tahap radikalisasi dan jika tiada langkah pencegahan, ajaran itu mampu menjadi kumpulan pelampau.

"Ideologi radikal ini mempunyai empat tahap iaitu fasa pertama indoktrinasi yang sudah pun berlaku dalam ajaran PMYT sehingga mempunyai lebih 3,000 pengikut seluruh negara.

"Kini mereka berada dalam fasa migrasi. Maksudnya, migrasi fizikal atau perubahan minda untuk memasuki fasa ketiga yang lebih menakutkan iaitu latihan atau 'tamrin' sebelum fasa operasi.

"Kalau kita letak darjah ektremisme untuk ajaran ini, saya berikan mereka sudah memasuki fasa dua dan akan pergi ke fasa berikutnya yang lebih serius," katanya.

Katanya, ajaran PMYT ini mempunyai corak yang sangat mirip dengan mana-mana kumpulan radikal yang lain termasuk Daish kerana menggunakan hujah eskatologi dan memerlukan umat Islam pergi ke satu tempat yang dijanjikan.

Menurutnya, dalam doktrin mereka juga ada disebut bahawa sesiapa yang tidak mengikuti ajaran ketua mereka akan mati dalam keadaan hina.

Katanya, pernyataan itu jika diperhalusi adalah memberi mesej kepada semua orang yang tidak sehaluan dengan ajaran itu bahawa hidup mereka akan binasa.

"Bagaimana jika mereka mempunyai kekuatan, jumlah serta keupayaan, pastinya mereka akan mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka.

"Saya difahamkan dalam doktrin mereka, ahli atau anggota ajaran ini dikehendaki mempersiapkan diri dengan stok makanan, senjata asas dan sudah mempunyai plot pertemuan untuk penempatan sementara.

"Poin pertemuan yang dilakarkan oleh kumpulan ini disifatkan sangat teliti dan pastinya ada dalam kalangan ahli ajaran ini yang juga bekas anggota pasukan keselamatan mahu pun yang masih bertugas," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya, ajaran PMYT mempunyai semua elemen ektremisme sama seperti mana-mana organisasi seperti Daish dan cuma hanya menanti masa yang sesuai untuk meletus.

Wujud elemen seruan berperang

Penyebaran ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dibawa wanita berusia 39 tahun dengan menggunakan gelaran Sittah Annur mengundang kecaman daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengatakan perbuatannya itu menyebabkan kegemparan awam.

Rata-rata NGO mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan agama supaya segera mengambil tindakan terhadap ketua ajaran kumpulan itu dan pengikutnya yang didakwa memesongkan ajaran Islam sebenar.

Kebimbangan NGO itu ada benarnya kerana Pakar Deradikalisasi Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam menyifatkan kumpulan berkenaan sudah memasuki fasa kedua daripada empat tahap radikalisasi dan beliau menegaskan jika tiada langkah pencegahan, ajaran ini mampu menjadi kumpulan pelampau.

Untuk rekod, Sittah Annur yang berasal dari Kelantan dan kini menetap di Shah Alam meramalkan Perang Dunia Ketiga akan berlaku di Sabah berdasarkan mimpi dan ramalannya sebelum dia dipertanggungjawabkan membawa pengikutnya bergerak mencari Imam Mahdi.

Sejak pendedahan dilakukan Harian Metro bermula Ahad lalu, empat NGO - Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Gerakan Belia 4B Malaysia, Alumni Parlimen Belia Malaysia dan Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - sudah tampil membuat laporan polis manakala hari ini dijadualkan beberapa lagi NGO akan melakukan perkara sama di beberapa balai polis di Lembah Klang.

Presiden Permas Datuk Ismail Awang berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap fahaman ajaran PMYT.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat dan tampil dengan penjelasan supaya apa yang ditimbulkan wanita ini dapat dirungkaikan mengikut ajaran Islam dan ditentukan sama ada sesat atau sebaliknya," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.

Menurutnya, Permas juga menggesa Jabatan Agama Islam negeri agar proaktif dalam membanteras sebarang dakyah palsu sama ada daripada orang perseorangan atau kumpulan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang diperuntukkan di negeri masing-masing.

Katanya, selaku pertubuhan berbaiah, Permas meminta ahli di seluruh negara untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak berwajib sekiranya mendapati atau mengetahui maklumat mengenai PMYT.

Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, pihaknya terpanggil membuat laporan polis kerana bimbang dengan ancaman keselamatan yang ditimbulkan dakyah terbabit.

Katanya, ia adalah perkara yang serius dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa memandangkan wujudnya elemen seruan berperang yang dibawa Sittah Annur.

"Ia satu gerakan yang berbahaya kerana dinyatakan di dalam laporan Metro Ahad bahawa ada 29 lokasi dalam perancangan kumpulan ini.

"Lokasi perjumpaan juga membabitkan beberapa sekolah dan saya minta ibu bapa memantau anak mereka agar tidak terjebak dengan fahaman mengelirukan oleh mana-mana pihak," katanya.

Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, gerakan seperti itu perlu dibendung segera khususnya oleh PDRM dan jabatan agama Islam negeri kerana ia jelas bertentangan dengan agama.

Katanya, kegagalan mengambil tindakan segera akan menyebabkan imej Islam dipandang buruk oleh masyarakat.

"Jadi kita perlukan kesahihan, bukannya mencari kesalahan. Kita harap usaha ini akan mendorong tindakan proaktif pihak berwajib kerana perkara ini jelas satu ancaman," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, golongan belia tidak boleh memandang remeh isu sebegini sebaliknya wajar memainkan peranan untuk membanteras gerakan menyeleweng.

Menurutnya, menerusi komen netizen di media sosial terdapat pengikut yang taasub dengan ajaran itu dan ia satu petunjuk yang membimbangkan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:01 AM